KHASIAT KOPI

 

Sebut sahaja kopi pasti tidak asing lagi bagi kebanyakan kita. Sejenis minuman yang sentiasa menjadi pilihan ketika bersarapan pagi. 

Biji kopi datangnya daripada pokok kopi yang diberi nama Coffea. Berdasarkan kepada kajian, terdapat beribu jenis spesis pokok Coffea dengan pelbagai ciri fizikal.Namun begitu, dua jenis spesis Coffea yang popular di dunia iaitu Coffea Arabica dan Coffea Robusta. Pokok C. 

Arabica merupakan spesis utama yang menghasilkan serbuk kopi Arabica dan meliputi 70% pengeluaran di dunia. Spesis pokok kopi ini berasal daripada negara Ethopia dan dikatakan mengandungi kafein yang lebih rendah berbanding dengan kopi Robusta.

Manakala, biji kopi daripada spesis C.Robusta pula banyak digunakan dalam penghasilan kopi pra-campuran. Ianya juga didapati mengandungi kafein yang lebih tinggi.


Kandungan Berkhasiat di dalam Kopi

Tinggi Kandungan Antioksidan

  • Kopi merupakan salah satu minuman yang mengandungi tinggi antioksidan. Chlorogenic acid adalah merupakan salah satu antioksidan yang didapati daripada biji kopi.  Ia merupakan salah satu metabolit daripada kumpulan polyphenol dan komponen utama yang didapati daripada biji kopi.
  • Secara spesifiknya, kajian mendapati bahawa chlorogenic acid memainkan peranan penting dalam pelbagai aktiviti biologi seperti bertindak sebagai antioksidan, antibakteria dan anticarcinogenic. Bahkan ianya juga didapati dapat memberikan kesan hypoglycemic serta hypolipidemic.
  • Sementara itu, dalam kajian lain pula mendapati bahawa aktiviti antiokisdan di dalam air kopi adalah lebih tinggi berbanding dengan air teh dan juga wine merah.


5 Khasiat Kopi untuk Kesihatan


1. Bertindak sebagai Energy Booster

Lazimnya, minuman kopi ini sentiasa menjadi pilihan individu ketika bersarapan mahupun ketika ingin menyegarkan diri daripada kepenatan bekerja. Kopi sememangnya sangat popular dengan keupayaannya dalam memberikan tenaga atau membuatkan si peminumnya berada dalam keadaan berjaga (stay awake).

Ini adalah kerana, kopi mengandungi sejenis ‘bahan rangsangan’ yang bertindak terhadap sistem saraf pusat (central nervous system) iaitu kafein. Umumnya, kafein akan diserap kedalam salur darah dan dibawa ke sistem saraf (otak).

Seterusnya, ia akan bertindak dengan menghalang tindakbalas adenosine, bahN kimia yang menyebabkan individu berasa penat dan mengantuk.Dalam masa yang sama ia juga akan merangsang aktiviti hormon adrenaline dan menyebabkan individu berada dalam keadaan berjaga.

2. Berpotensi Mengurangkan Risiko Penyakit Kanser

Kopi yang kaya dengan antioksidan seperti chlorogenic acid dan caffeic acid memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko penyakit kanser. Seperti yang kita sedia maklum, antioksidan merupakan salah satu bahan yang dapat mengurangkan risiko kerosakan sel akibat daripada tekanan oksidatif.

Namun begitu, kajian mendapati bahawa fungsi ini hanya berkesan terhadap beberapa jenis penyakit kanser sahaja. Oleh yang demikian, kajian yang lebih mendalam perlu dijalankan.

3. Mengurangkan Risiko Penyakit Alzheimer’s

Sebuah kajian mendapati bahawa pengambilan kopi dalam kalangan warga pertengahan usia dapat mengurangkan risiko penyakit alzheimer’s sebanyak 65%. Ini disebabkan oleh ciri-ciri antioksidan yang dimainkan oleh kopi serta peningkatan kadar sensitiviti insulin.

4. Mengurangkan Risiko Penyakit Parkinson

Kafein yang terkandung di dalam biji kopi memainkan fungsi penting dalam memberi perlindungan terhadap sistem saraf. Mekanisma ini berkait dengan kandungan kafein yang dapt meningkatkan aktiviti dopaminergic.

5.Menambahbaik Mood & Emosi

Kajian mendapati bahawa pengambilan kafein dalam dos yang sederhana (200-250mg) mampu meningkatkan mood dan emosi seseorang individu. Walaubagaimanapun, pengambilan yang berlebihan tidak digalakkan kerana ia mampu memberi kesan buruk seperti meningkatkan rasa gelisah.Kajian yang lain pula mendapati bahawa kesan pengambilan kopi tidak mempengaruhi individu yang mengalami masalah psikologi dan bergantung kepada ubat.

No comments:

Post a Comment