Tips Kewangan Efektif untuk Golongan Muda
1. Belanja Ikut Keperluan
Tabiat perbelanjaan yang tidak sihat boleh menjadi punca utama kepada masalah kewangan dalam kalangan golongan muda. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk berbelanja ikut kemampuan dan ukur baju di badan sendiri. Hadkan kemahuan yang tidak penting seperti beli kereta mahal dan pakaian berjenama.
Pakai pakaian tidak berjenama atau bundle tidak akan menjadikan anda kolot atau tidak pandai berfesyen. Jika dipadankan dengan aksesori yang sesuai dan keyakinan diri yang tinggi, baju-T berharga RM30 sudah cukup untuk menyerlahkan gaya anda. Begitu juga dengan pemilihan tempat makan, lepak di warung di tepi jalan tidak menjadikan anda kelas rendah dan begitulah sebaliknya.
2. Kurangkan Sikap Boros
Kebanyakan orang cenderung untuk berbelanja lebih apabila semakin tinggi pendapatan yang diterima setiap bulan. Namun sebenarnya, anda perlu hidup di bawah kemampuan anda. Jika anda berbelanja mewah mengikut kemampuan yang anda ada, anda mungkin akan cukup-cukup makan setiap bulan dan ini mungkin akan memberi kesan kepada kewangan peribadi anda.
Jika anda berbelanja di bawah kemampuan anda, pastinya akan ada lebihan duit untuk disimpan setiap bulan. Wang lebihan ini boleh diperuntukkan untuk pelaburan dan sebagainya. Selain itu, elakkan hutang-hutang jahat seperti hutang kad kredit, personal loan dan sebagainya untuk cover perbelanjaan bulanan anda.
Sekiranya hutang anda tinggi melebihi kemampuan anda untuk bayar balik, ada kemungkinan nama anda akan disenarai hitam oleh pihak bank melalui rekod CCRIS atau laporan CTOS anda, atau dalam senario yang lebih teruk anda boleh diistiharkan muflis.
3. Tips Kewangan: Buat Tabung Simpanan
Secara asasnya, kekayaan bukanlah diukur melalui seberapa banyak pendapatan yang anda peroleh, tetapi seberapa banyak amaun yang anda boleh simpan untuk kegunaan masa depan. Tidak dinafikan ada segelintir rakyat Malaysia yang tidak mampu untuk menyimpan disebabkan oleh kekangan gaji yang terhad.Meskipun begitu, ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk anda tidak menyimpan langsung. Anda boleh menyimpan apa-apa amaun yang anda rasakan sesuai dengan kemampuan anda.
4. Melabur
Selain memudahkan individu merancang masa depan, pelaburan penting bagi menjamin kualiti hidup yang lebih baik. Namun begitu, proses menggandakan atau mengembangkan wang simpanan bukanlah satu kerja mudah. Ia memerlukan kesabaran, disiplin dan ilmu yang mencukupi bagi mencapai sasaran dan misi yang ditetapkan. Di Malaysia, banyak pelaburan yang boleh anda pertimbangkan antaranya:
- Deposit tetap;
- Pelaburan ASB;
- Simpanan Tabung Haji;
- Skim Persaraan Swasta (PRS);
- Simpanan emas;
- Pelaburan Hartanah;
- Pelaburan-pelaburan lain yang sesuai dengan penilaian risiko masing-masing.
Secara asasnya, pelaburan tidak sama dengan simpanan melalui kaedah konvensional di bank – simpanan ambil masa yang lama untuk mendapatkan pulangan. Ini kerana, sesetengah bank menetapkan kadar pulangan ke atas simpanan yang sangat rendah. Oleh sebab itu, anda perlu bijak memilih instrumen pelaburan terbaik untuk kembangkan simpanan anda.
5. Jana Pendapatan Sampingan
Penambahan beberapa ratus ringgit sebulan mampu memberi kesan yang ketara terhadap status kewangan individu, apatah lagi jika anda mampu menjana side income sehingga mencecah ribuan ringgit sebulan. Dalam keadaan ekonomi serba mencabar ini, anda disyorkan mencari pendapatan sampingan untuk kehidupan yang lebih tenang. Anda boleh pertimbangkan kerja sambilan seperti berikut:
Pekerja Bebas (Freelancer)
Sebagai pekerja bebas, anda tidak terikat dengan waktu kerja yang tetap dan boleh bekerja mengikut kesesuaian waktu sendiri. Banyak kerja-kerja bebas memerlukan kemahiran-kemahiran tertentu seperti terjemahan, penulis kandungan sosial media, reka bentuk grafik dan sebagainya.
Jadi Ejen Dropship atau Affiliate
Anda juga boleh menjual barangan secara online melalui laman sosial media atau platform jual beli barangan yang ada. Kelebihan menjadi ejen dropship, anda tidak perlu menyimpan stok atau mengeluarkan modal perniagaan yang besar. Anda hanya perlu mempromosikan produk menggunakan pautan khas dan komisen akan dibayar jika ada pembelian dibuat melalui pautan khas ini.
Buat Kandungan Digital
Jika anda seseorang yang gemar mengambil gambar atau kreatif dalam menghasilkan video, anda boleh mempertimbangkan karier sebagai social media influencer. Biasanya, syarikat-syarikat besar akan menggunakan khidmat pempengaruh media sosial untuk mempromosikan barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengikut tersendiri.
Pekerjaan dalam Ekonomi Gig
Pekerjaan gig merujuk pada perkhidmatan atas permintaan seperti penghantar makanan, pertukangan, mengemas rumah, mengangkat barangan dan sebagainya melalui aplikasi-aplikasi popular di pasaran. Anda boleh tawarkan perkhidmatan yang sesuai bergantung pada kemahiran yang anda ada.
6. Tips Kewangan: Bersederhana dalam Semua Aspek
Selain itu, antara tips kewangan yang boleh anda ikuti ialah amalkan sikap bersederhana dan jangan berbelanja secara berlebihan. Amalan bersederhana membolehkan anda memupuk tabiat perbelanjaan yang berdisiplin dengan memfokuskan pada bajet dan mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak perlu. Lebihan yang ada boleh disimpan untuk kegunaan hari mendatang.
Sebagai contoh, jika anda perlu memiliki kereta untuk kegunaan ke tempat kerja, memadai untuk anda beli kereta mampu milik dan murah berbanding kereta berjenama asalkan sampai ke destinasi yang dituju. Malah, kereta-kereta ini juga lebih menjimatkan dari aspek penyelenggaraan dan penjagaan. Namun lebih baik jika anda boleh elakkan beli kereta dan gunakan kemudahan pengangkutan awam ke tempat kerja.
7. Rancang dan Hadkan Perbelanjaan
Tentukan matlamat perbelanjaan untuk mengelakkan anda berbelanja melebihi had yang ditetapkan. Andaikan anda ingin beli motosikal berharga RM8,000 secara tunai, anda perlu rancang pembelian setahun lebih awal dengan membahagikan kos pembelian kepada 12 bulan (atau lebih mengikut keperluan anda). Dengan cara ini, anda boleh rancang berapa banyak yang anda perlu simpan setiap bulan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.
Selain itu, kurangkan makan di luar dan masak sendiri di rumah. Secara asasnya, anda perlu belanjakan sekurang-kurangnya RM20 untuk setiap hidangan apabila anda makan di luar atau minimum RM50 sehari. Meskipun sedikit melecehkan, anda boleh jimat lebih banyak jika masak sendiri di rumah. Dengan amaun RM50 ini, anda boleh sediakan hidangan untuk sekurang-kurangnya dua atau tiga hari.
8. Manfaatkan Jualan Murah
Sekiranya anda seseorang yang mementingkan jenama, anda boleh manfaatkan jualan murah untuk lebih penjimatan. Banyak pasaraya besar yang menjual baju berjenama dan berkualiti pada harga yang jauh lebih murah terutamanya semasa perayaan atau hujung tahun.
Namun secara asasnya, jenama bukanlah kayu ukur yang paling penting dalam memilih pakaian. Tidak salah untuk anda memakai pakaian yang tidak berjenama asalkan selesa dan menawarkan kualiti yang setanding. Kenalan anda tidak akan bertanyakan jenama pakaian yang anda gayakan namun mereka biasanya akan memuji jika pakaian yang dikenakan kena dengan diri anda.
Anda tidak perlu membelanjakan RM80 hingga RM100 untuk sehelai pakaian jika anda boleh dapatkan dalam lingkungan harga yang jauh lebih murah tetapi dengan kualiti yang sama.
9. Tips Kewangan: Beli Insurans untuk Perlindungan
Antara tips kewangan yang sering diabaikan oleh orang muda ialah memiliki insurans perlindungan diri. Ramai dalam kalangan orang muda berasakan memiliki insurans sama ada insirans nyawa atau medical card merupakan sesuatu yang merugikan kerana beranggapan mereka masih muda dan risiko menghidapi penyakit kritikal amat rendah.
Namun sebenarnya, sakit atau kematian tidak mengenal usia. Anda perlu peruntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji anda untuk insurans. Pastikan anda mempunyai pelan insurans yang bukan sahaja mampu melindungi anda tetapi keluarga anda sekiranya terjadi sesuatu kepada anda.
Sekurang-kurangnya, ada perlindungan insurans yang boleh menampung kos rawatan sekiranya anda didiagnosis dengan sakit kritikal. Atau dalam senario yang lebih teruk, ahli keluarga masih boleh meneruskan hidup dengan wang hibah yang anda tinggalkan jika anda meninggal dunia akibat kemalangan.
No comments:
Post a Comment