Sembelit ialah apabila kekerapan untuk membuang air besar berkurangan dan kesukaran untuk membuang najis. Sembelit merupakan satu gejala, bukannya satu penyakit. Setiap orang pernah mengalami sembelit dalam kehidupan mereka dan selalunya ia disebabkan oleh amalan pemakanan yang tidak baik.

Tanda dan Gejala

Biasanya gejala-gejala sembelit adalah seperti berikut. Walau bagaimanapun, setiap orang mungkin akan mengalami gelaja-gejala yang berlainan. Gejala-gejala tersebut:

  • Tidak membuang air besar beberapa hari, atau membuang najis yang keras dan kering.
  • Perut kembung, kejang atau sakit.
  • Kurang selera makan.
  • Gigi mengetap, kaki tersilang, punggung dikepit bersama, muka menjadi kemerahan apabila kanak-kanak cuba untuk menahan pembuangan najis untuk elakkan ketidakselesaan.
  • Sedikit cecair atau calitan najis lembut pada seluar dalam kanak-kanak.

Sebab-Sebab

Ketika makanan bergerak menerusi kolon (usus besar), kolon akan menyerap air daripada makanan semasa ia membentuk bahan buangan atau najis. Pengecutan otot pada kolon kemudiannya akan menolak najis ke rektum (bahagian akhir pada usus besar). Setelah najis sampai ke rektum, ia telah menjadi keras kerana kebanyakan air telah diserap.

Sembelit berlaku apabila kolon menyerap telalu banyak air atau jika otot kolon mengecut secara perlahan atau lembab menyebabkan najis bergerak ke arah kolon secara terlalu perlahan. Akibatnya, najis akan menjadi keras dan kering. Sebab-sebab biasa berlakunya sembelit ialah:

  • Kurang serat dalam diet.
  • Kurang aktiviti fizikal (terutamanya di kalangan warga tua).
  • Pengubatan.
  • Susu.
  • Sindrom gangguan usus (Irritable bowel syndrome).
  • Perubahan dalam kehidupan yang rutin seperti mengandung, penuaan dan pengembaraan.
  • Penyalahgunaan julap.
  • Menahan untuk membuang air besar.
  • Kekurangan air.
  • Penyakit atau keadaan tertentu seperti strok.
  • Masalah dengan kolon dan rektum.
  • Masalah dengan fungsi usus (sembelit kronik tanpa sebab).

Komplikasi

Sembelit yang berpanjangan dan serius mungkin boleh menyebabkan buasir yang disebabkan oleh menahan untuk membuang air besar atau Anal Fissures (koyakan pada kulit di sekeliling dubur). Ia berlaku disebabkan oleh najis yang keras meregangkan otot Sphincter. Kesannya, pendarahan rektum mungkin berlaku, di mana darah kelihatan di permukaan najis.

Kadang kala, regangan menyebabkan rektum terkeluar (terjatuh) dan ini boleh menjurus kepada pengeluaran mukus dari dubur. Rektum yang terkeluar dengan teruk dan kronik memerlukan pembedahan untuk menahan usus dari terkeluar atau untuk membaiki lapisan yang terkeluar (terjatuh).

Sembelit juga boleh disebabkan oleh najis yang keras memenuhi ruang usus dan rektum secara amat ketat yang mana penolakan najis keluar secara normal tidak mampu membawa najis keluar. Ini merupakan Fecal Impaction yang biasa berlaku di kalangan kanak-kanak dan warga emas. Impak ini boleh dilembutkan dengan penggunaan minyak mineral yang diminum atau disuntik menerusi dubur. Selepas melembutkan impaksi, doktor mungkin akan memecahkan dan membuang bahagian najis yang keras dengan memasukkan jari.

Rawatan

Perkara utama dalam merawat sembelit ialah untuk memastikan kita memakan serat dan meminum air dengan cukup. Ini akan membantu najis bergerak menerusi usus dengan meningkatkan ketebalan najis dan menjadikannya lebih lembut.

Berbincang dengan doktor keluarga anda sekiranya:

  • Sembelit masih baru dan tidak biasa kepada anda.
  • Anda mengalami sembelit selama 3 minggu atau lebih.
  • Anda dalam kesakitan.
  • Anda mendapati najis anda berdarah.

Pencegahan

Dalam banyak kes, tips mudah berikut akan membantu:

  • Makan pelbagai jenis makanan. Makan banyak kekacang, bijirin penuh, buahan segar dan sayuran.
  • Minum banyak air.
  • Lakukan senaman secara berkala.
  • Jangan menahan untuk membuang air besar.
  • Ketahuilah yang tabiat membuang air besar yang normal adalah berbeza mengikut individu.
  • Sekiranya tabiat membuang air besar anda berubah, dapatkan pemeriksaan doktor anda.

No comments:

Post a Comment