Vitamin A merupakan istilah generik bagi sekumpulan sebatian lemak yang sangat penting untuk kesihatan manusia. Seorang lelaki dewasa memerlukan dalam 900 mcg vitamin A dalam sehari. Manakala wanita dewasa memerlukan 700 mcg, kanak-kanak dan remaja dalam 300-600 mcg vitamin A sehari.

Selain penting bagi mata kita untuk mengekalkan penglihatan yang sihat, vitamin A juga diperlukan bagi memastikan organ dan sistem imunisasi dapat berfungsi dengan baik serta membantu dalam perkembangan bayi di dalam rahim. Namun begitu, apakah faedah vitamin A ini pada kulit kita?

Salah satu sumber Vitamin A adalah Ubi Keledek

Menjaga Kulit Daripada Kerosakan UV

Vitamin A merupakan antioksidan yang kuat dan boleh didapati dalam makanan yang kaya dengan beta-carotene dan provitamin A carotenoids. Dengan mengurangkan kepekaan kulit kepada cahaya matahari dan memberi perlindungan semulajadi terhadap kemerahan dan pigmentasi yang disebabkan oleh matahari, vitamin A dapat menghalang radikal bebas daripada merosakkan kolagen dalam kulit lalu menyumbang kepada garis-garis halus serta kulit kendur.

Menggalakkan Pertumbuhan Sel-Sel Kulit Yang Sihat

Retina, retinol dan asid retinoik sangat penting dalam pengeluaran dan pertumbuhan sel-sel kulit. Vitamin A dapat merangsang pengeluaran fibroblast dalam lapisan kulit kita. Fibroblast merupakan sel yang bertanggungjawab dalam memastikan kulit kekal sihat dan tampak anjal. Oleh kerana vitamin A dan carotenoids memainkan peranan besar dan pertumbuhan sel dan tisu, kekurangan vitamin ini akan mengakibatkan kulit kita mengalami masalah kekeringan dan melambatkan luka untuk sembuh.

Melindungi Kulit Daripada Infeksi

Kulit memainkan peranan yang penting dalam sistem imunisasi badan kita kerana ia merupakan benteng pertahanan pertama yang melindungi badan kita daripada sebarang bakteria, pencemaran dan jangkitan kuman. Dengan menggalakkan pengeluaran sel, vitamin A membantu dalam menguatkan lagi benteng ini lalu melindungi kulit kita daripada ancaman berbahaya yang cuba menyerang.

Mengurangkan Kedutan Pada Kulit

Kebanyakan dermatologi akan mencadangkan pengambilan vitamin A dalam memerangi tanda-tanda penuaan seperti kedut dan kerut kerana sifatnya yang anti-aging. Ini kerana kajian telah menunjukkan bahawa vitamin A dapat merangsang pengeluaran kolagen dalam kulit kita. Retinoid akan menghidupkan sel yang bertanggungjawab dalam pembuatan kolagen baru, lalu menguatkan kulit kita dan mengurangkan garis-garis halus pada kulit, secara tidak langsung membuatkan kulit tampak licin dan awet muda.

Menyekatakan Tona Kulit Dan Menaikkan Seri Wajah

Krim yang mengandungi vitamin A dapat membantu mengurangkan bintik-bintik coklat pada kulit dan merangsang seri kulit dengan dua cara;

Pertama – meningkatkan dan menormalkan proses keratinization (perolehan sel kulit), yang membantu kulit kita membuang pigmentasi dan kerosakan pada kulit, lalu memberi ruang bagi sel-sel yang sihat.

Kedua – retinoid boleh menghalang enzim yang diperlukan bagi penghasilan melanin (pigmen), yang dapat membantu dalam menampakkan kulit kelihatan berseri, cerah dan glowing.

Merawat Jerawat

Jerawat terbentuk apabila liang roma muka tersumbat dengan sel-sel kulit mati, bakteria dan lebihan minyak pada muka. Ini merupakan tempat pembiakan buat Propionibacterium, iaitu bakteria yang bertanggungjawab dengan terjadinya cacat cela pada kulit. Dengan menggunakan krim vitamin A, ia akan merangsang perolehan sel kulit lalu membantu memperlahankan pengeluaran minyak pada kulit muka dan memastikan kebersihan pori.

No comments:

Post a Comment