Kepentingan Pengetahuan 

Kesihatan Mental

"Bagi mengamalkan kesihatan mental yang baik, adalah penting untuk kita memahami berkenaan kesihatan mental terlebih dahulu."

    Hasil beberapa kajian tertentu telah menunjukkan bahawa individu yang mempunyai harga diri yang tinggi, mampu berkomunikasi dengan bijak dan efektif, mempunyai sokongan sosial yang kuat pada keseluruhannya mempunyai kemampuan mempromosikan kesihatan mentalnya dengan baik. Pengetahuan kesihatan mental yang kurang dalam individu dapat mengakibatkan masalah-masalah kepada individu itu sendiri, keluarganya dan masyarakat amnya.

    Bagi mengamalkan kesihatan mental yang baik, adalah penting untuk kita memahami kesihatan mental terlebih dahulu. Kesihatan mental adalah berkait rapat dengan kehidupan seharian setiap orang. Seperti kesihatan fizikal, kesihatan mental mesti dipromosikan dan dipertahankan. Mereka yang mempunyai kesihatan mental yang baik, berasa selesa dengan diri sendiri, berasa selesa dengan orang lain dan boleh memenuhi cabaran hidup seharian.

    Kesihatan mental sememangnya perlu diperkatakan dan dipromosikan kerana ini adalah cara yang jauh lebih baik dan berkesan berbanding dengan merawat apabila telah menghidap penyakit mental. Apabila kita berbincang tentang kebahagian, kedamaian, kepuasan dan keseronokan, kita sebenarnya memperkatakan tentang kesihatan mental. 

Kesihatan mental individu dipengaruhi oleh tiga faktor utama iaitu:

1.      Ciri-ciri khusus individu

2.      Faktor persekitaran

3.      Peristiwa-peristiwa dalam hidup

 

Ciri-ciri khusus individu termasuklah harga diri (self-esteem), tabiat (temperament) dan kemampuan daya tindak (coping skills).

Faktor persekitaran termasuk faktor sosio-ekonomi, sokongan sosial dan keadaan fizikal seperti tempat tinggal terlalu sesak, kotor, bising dan sebagainya.

Perisitiwa-peristiwa dalam hidup termasuk kehilangan orang yang disayangi, masalah kewangan dan peralihan kitaran hidup seperti remaja kepada dewasa dan persaraan.

 

    Dalam konteks meningkatkan lagi pengetahuan dan intervensi berkenaan kesihatan mental ini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah banyak menjalankan kempen yang bertujuan untuk memastikan masyarakat Malaysia mencapai Kesihatan Mental yang baik bagi menjamin kehidupan yang berkualiti. Kempen ini juga menitikberatkan atau memberi fokus kepada kemampuan daya tindak individu dan masyarakat dan mengenalpasti strategi-strategi serta intervensi-intervensi ke atas kumpulan sasar yang tertentu. Kementerian Kesihatan Malaysia telah menggariskan program-program terhadap kumpulan sasaran tertentu iaitu golongan kanak-kanak, remaja, ibubapa, dewasa bekerja, wargatua dan masyarakat umum.

No comments:

Post a Comment