4 JENIS SENAMAN UNTUK
MENCAPAI KESIHATAN OPTIMUM
Melakukan satu jenis senaman sahaja sememangnya tidak mencukupi untuk mencapai tahap kesihatan optimum.Mungkin ada di antara kita yang sudah selesa dengan berjoging, dan menjadikannya senaman rutin setiap minggu. Sama juga seperti mereka yang lebih gemar berbasikal, skipping, berenang, dan lain-lain.Tidak ada salahnya jika hanya melakukan satu jenis senaman, cuma rutin seperti ini bersifat tidak menyeluruh dan tidak mampu membantu seseorang mencapai kesihatan optimum tubuh badan, walau dilakukan berulang kali.
Oleh itu, apakah senaman lain
yang boleh dilakukan sebagai tambahan kepada rutin senaman anda? Jom cuba
praktikkan senaman daripada 4 kumpulan di bawah.
4
KUMPULAN SENAMAN
Jenis-jenis senaman ini pastinya memberi banyak manfaat kepada anda jika dilakukan secara konsisten.
1.
KARDIO / AEROBIK
Senaman kardio / aerobik adalah senaman yang paling popular di kalangan masyarakat tempatan. Ianya mudah dilakukan dan selalunya tidak memerlukan sebarang peralatan senaman.
Contohnya seperti berjoging,
senaman berjalan laju (brisk walking), berenang, berbasikal dan bermain
bola sepak.
Senaman jenis kardio / aerobik
ini berperanan untuk meningkatkan denyutan jantung bagi mengepam darah ke
seluruh tubuh badan. Ini memastikan sistem peredaran darah dapat berfungsi
dengan lancar tanpa sebarang halangan.
Selain itu, senaman-senaman ini menjadikan seseorang mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menghidap penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, strok, dan kencing manis.
2.
LATIHAN KEKUATAN
Sesuai dengan namanya, senaman ini bertujuan untuk membina kekuatan tulang dan otot.
Contohnya seperti angkat berat,
tekan tubi, plank, dan banyak lagi. Secara amnya, senaman jenis
kekuatan ini banyak melibatkan pergerakan menggunakan otot anda.
Ramai yang menyifatkan senaman ini
hanya spesifik untuk mereka yang ingin membina badan. Namun hakikatnya, ia
merupakan satu elemen senaman yang penting untuk diterapkan dalam kehidupan
seharian bagi membantu memperbaiki komposisi tubuh dan menguatkan otot badan.
Ia juga mampu membantu anda menurunkan berat badan dengan meningkatkan kadar metabolisme secara keseluruhan.
3.
FLEKSIBILITI
Apabila sistem peredaran darah sudah lancar dan otot menjadi semakin kuat, jangan lupa juga untuk melakukan senaman fleksibiliti atau regangan.
Senaman regangan membantu
melenturkan otot, memperbaiki fungsi sendi dan menjadikan badan lebih
fleksibel. Pergerakan badan yang lebih bebas dapat mengelakkan kecederaan
ketika melakukan aktiviti harian.
Antara senaman yang popular
adalah yoga, pilates, senaman regangan (stretching) dan
pelbagai lagi.
4. KESEIMBANGAN
Semakin meningkat usia, semakin
kurang keseimbangan badan. Masalah ini sering dihadapi golongan tua atau warga
emas.
Oleh itu, amat penting untuk
melakukan senaman keseimbangan sementara anda masih muda dan bertenaga. Ini
bertujuan memperbaiki keupayaan untuk mengawal keseimbangan badan agar tidak
mudah jatuh.
Contoh yang paling mudah adalah
berdiri dengan hanya menggunakan sebelah kaki seperti dalam gambar di atas,
melakukan senaman tai chi dan berjalan dalam satu garisan lurus.
No comments:
Post a Comment